KEDUDUKAN WANITA DALAM ADAT PERPATIH

Adat perpatih diasaskan oleh dua bersaudara iaitu Datuk Perpatih Nan Sebatang dan Datuk Katamanggungan yang mempunyai pertalian sama ibu tetapi berlainan bapa.
Selain Negeri Sembilan, adat perpatih turut diamalkan di daerah Naning serta Alor Gajah di Melaka yang menggunakan sistem suku bercorak matrilineal.
Sistem suku tersebut mengambil garis keturunan sebelah ibu dan berbeza dengan adat Temenggung yang menitikberatkan keturunan sebelah bapa.
Jadi memandangkan adat perpatih menggunakan sistem matrilineal maka wanita mempunyai kedudukan tertentu dalam sistem ini.
Mengikut tradisi adat perpatih, perkahwinan terbahagi kepada norma perspektif dan preferential di mana norma perspektif ialah eksogami yang melarang seorang lelaki menikahi seorang perempuan dari sukunya sendiri atau sesuku.
Sementara norma preferential pula ialah melakukan perkahwinan silang pupu iaitu anak gadis abang atau adik lelaki ibu sendiri dengan anak gadis kakak atau adik perempuan ayah.
Perkahwinan silang pupu sering kali dilakukan terutama apabila tiadanya anak perempuan untuk meneruskan atau mengembangkan suku.
Ini juga berkait rapat dengan harta pusaka adat yang hanya boleh diwarisi oleh perempuan dari suku tersebut.
Dalam adat perpatih juga perkahwinan mewujudkan orang semenda iaitu lelaki yang berkahwin dengan wanita Negeri Sembilan dan tempat semenda yang merupakan rumah tempat tinggal wanita tersebut bersama keluarganya.
Selain itu terdapat perbilangan yang melarang orang semenda mengahwini mana- mana wanita di Negeri Sembilan yang sesuku dengan isterinya.
Larangan tersebut jelas menunjukkan bagaimana adat perpatih memberi kedudukan yang istimewa kepada wanita Negeri Sembilan. Ini secara tidak langsung tidak menggalakkan poligami di kalangan lelaki yang berkahwin di Negeri Sembilan.
Sementara itu wanita dari segi perwarisan pusaka di bawah adat perpatih pula terbahagi kepada harta pusaka, harta dapatan, harta pembawa dan harta dari laki-bini (harta carian).
Menurut adat perpatih tanah pusaka hanya boleh diwarisi oleh wanita dalam sesuatu suku.
Begitu juga masyarakat luar sering kali salah faham tentang adat perpatih ini yang menganggap semua harta dimiliki oleh wanita dan lelaki tidak mempunyai sebarang hak terhadap harta jika ia berkahwin dengan wanita dengan Negeri Sembilan yang mengamalkan adat perpatih.
Sebenarnya hanya tanah adat sahaja yang terlibat sedangkan harta dari jenis yang lain boleh dimiliki oleh lelaki dan perempuan.
Harta dapatan pula adalah harta yang dimiliki oleh seorang wanita sewaktu dia berkahwin termasuk harta carian bujang, carian janda, harta sepencarian dan harta pusaka.
Manakala harta pembawa merupakan harta seorang lelaki yang dimiliki semasa dia masih bujang termasuk harta yang diperoleh daripada ibu bapanya atau yang dia beli sendiri.
Apabila dia meninggal dunia selepas dia berkahwin, harta ini kembali kepada saudara perempuan atau warisnya. Harta ini boleh dituntut oleh isteri dan anaknya jika ia mewariskan harta itu kepada mereka.
Harta carian suami isteri pula adalah harta yang diperoleh oleh suami isteri semasa mereka berkahwin dan jika berlaku perceraian, harta ini dibahagi sama rata.
Kesimpulannya, dalam adat perpatih wanita mempunyai kedudukan dan status yang telah ditentukan yang memberi pelindungan yang mencukupi.

SUMBER 
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2010&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm#ixzz3sIqRG4bZ 

© Utusan Melayu (M) Bhd 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment